Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) telah menganjurkan Taklimat Pengisian Sasaran Tahunan Kerja (SKT) Tahun 2025 pada 24 September 2025 bertempat di Dewan Unit Latihan, Tingkat 1 JKNS. Penganjuran program ini bertujuan memberikan penerangan serta panduan kepada semua pegawai dan kakitangan jabatan mengenai kaedah penyediaan dan pengisian SKT yang betul, selaras dengan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPAN).
Taklimat ini telah disampaikan oleh Encik Mohd Shafiq bin Mohd Hasat @ Arshad, Pegawai Tadbir N9 dari Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, yang berpengalaman dalam bidang pengurusan sumber manusia dan penilaian prestasi perkhidmatan awam.
Dalam sesi tersebut, beliau menekankan kepentingan SKT sebagai instrumen utama dalam Sistem Penilaian Prestasi (LNPT), yang berperanan membantu pegawai menetapkan sasaran kerja tahunan secara terancang, terukur dan sejajar dengan objektif strategik jabatan. Para peserta turut didedahkan kepada langkah-langkah penyediaan SKT yang berkesan, kaedah penetapan Petunjuk Prestasi Utama (KPI), serta tatacara pelaporan pencapaian kerja bagi memastikan penilaian prestasi dilaksanakan secara telus dan objektif.
Penganjuran taklimat ini bukan sahaja memberi kefahaman mendalam kepada semua warga JKNS mengenai proses pengisian SKT, malah diharap dapat memupuk budaya kerja berasaskan prestasi, meningkatkan akauntabiliti, serta memperkukuh keberkesanan perancangan dan pelaksanaan tugas sepanjang tahun 2025.