Pada 24 Oktober 2025 (Jumaat), Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) telah menerima kunjungan dan kerjasama strategik daripada Sunlight Pharmacy dalam penganjuran Taklimat Kesihatan sempena Kempen CSR “Train To Better Health” bersempena Ulang Tahun Ke-25 Perkhidmatan Farmasi. Program ini telah berlangsung di Dewan Latihan, Tingkat 1, Ibu Pejabat JKNS, bermula pada jam 9.00 pagi hingga 11.30 pagi.
Penganjuran program ini bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai aspek penjagaan kesihatan, memastikan amalan pengurusan ubat-ubatan yang lebih berkesan serta menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan warga kerja JKNS. Program ini juga merupakan sebahagian daripada usaha menyokong agenda kesejahteraan kakitangan melalui kerjasama dengan pihak luar bagi mewujudkan komuniti kerja yang sihat, produktif dan berinformasi.
Taklimat telah disampaikan oleh pegawai dan pakar kesihatan daripada Sunlight Pharmacy yang berkongsi pelbagai maklumat penting berkaitan pengurusan ubat secara selamat, pencegahan penyakit tidak berjangkit (NCD), keseimbangan nutrisi harian serta kepentingan aktiviti fizikal. Selain sesi pembentangan, ruang soal jawab turut diberikan bagi membolehkan para peserta mendapatkan penjelasan lanjut mengenai topik kesihatan yang dibentangkan.
Program turut disertakan dengan sesi pemeriksaan kesihatan percuma termasuk pemeriksaan bacaan indeks jisim tubuh (BMI) serta konsultasi kesihatan individu. Bahan pendidikan kesihatan juga diedarkan bagi memastikan warga jabatan mendapat panduan tepat dalam mengamalkan gaya hidup sihat secara berterusan.
Melalui penganjuran program ini, pihak JKNS merakamkan penghargaan kepada Sunlight Pharmacy atas sokongan dan komitmen dalam menjayakan program ini. Diharapkan melalui kolaborasi seperti ini, kesedaran terhadap kepentingan penjagaan kesihatan dalam kalangan warga JKNS dapat terus diperkasa, seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan perkhidmatan jabatan kepada masyarakat.