Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) telah mengadakan Perhimpunan Tahunan Kakitangan JKNS 2025 bertempat di Concourse, Tingkat 1, Ibu Pejabat JKNS pada hari Jumaat, 19 Disember 2025.
Perhimpunan tahunan ini merupakan platform penting bagi pihak pengurusan untuk menyampaikan amanat, makluman serta hala tuju jabatan kepada seluruh warga kerja JKNS. Program ini turut berperanan sebagai wadah untuk memperkukuhkan hubungan silaturahim, memupuk semangat kerja berpasukan serta mempertingkatkan komitmen kakitangan dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang dipertanggungjawabkan.
Sepanjang perhimpunan berlangsung, pelbagai perkara berkaitan prestasi jabatan, pencapaian sepanjang tahun 2025 serta perancangan dan aspirasi JKNS bagi tahun mendatang telah dikongsikan kepada semua kakitangan. Penekanan turut diberikan kepada aspek disiplin, integriti, kualiti perkhidmatan dan budaya kerja cemerlang selaras dengan visi dan misi jabatan.
Penganjuran perhimpunan ini mencerminkan komitmen JKNS dalam memastikan penyampaian maklumat yang berkesan, memperkukuhkan tadbir urus serta membina warga kerja yang profesional, berdaya saing dan berintegriti.