Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) berbesar hati menerima kunjungan Sidang Komander Askar Wataniah Tahun 2025 yang turut diiringi oleh Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail, Komander Rejimen 504 (AW), pada 18 Jun 2025 di Ibu Pejabat Jabatan Keretapi Negeri Sabah dan Stesen Tg.Aru.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada program rasmi Sidang Komander Askar Wataniah yang bertujuan memperkukuh jalinan kerjasama strategik antara JKNS dan Angkatan Tentera Malaysia, khususnya dalam aspek keselamatan, logistik, dan sokongan pengangkutan bagi operasi.
Rombongan Sidang Komander diketuai oleh DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra, diiringi pegawai kanan dan ahli sidang. Ketibaan baginda disambut penuh hormat oleh Tuan Pengarah Ir. Mohammad Safri bin Abd Habi bersama barisan pengurusan tertinggi jabatan.
Pengisian program lawatan merangkumi:
-
Taklimat mengenai sejarah, operasi, dan pembangunan perkhidmatan kereta api di Sabah
-
Sesi bergambar rasmi sebagai kenang-kenangan
Dalam titah ucapan baginda, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan penghargaan kepada JKNS atas sambutan mesra dan menekankan kepentingan kerjasama antara sektor pengangkutan awam dan pertahanan negara dalam memastikan kelancaran logistik.
Pihak JKNS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada DYTM Tuanku dan seluruh Sidang Komander Askar Wataniah atas kunjungan ini, serta berharap agar hubungan baik ini akan terus diperkukuh demi kepentingan bersama dan pembangunan negara.