Pihak Pengurusan JKNS telah mengadakan lawatan kerja pengurusan bersama Pengarah Baharu ke beberapa stesen keretapi sebagai usaha memperkukuh pentadbiran, meninjau operasi semasa serta mendekati warga kerja di lapangan.
Lawatan tersebut diketuai oleh Pengarah Baharu Jabatan bersama barisan pengurusan tertinggi dan pegawai kanan jabatan. Antara objektif utama lawatan ini adalah untuk melihat sendiri keadaan fasiliti stesen, tahap penyampaian perkhidmatan kepada penumpang, aspek keselamatan, penyelenggaraan aset serta keperluan penambahbaikan di setiap lokasi yang dilawati.
Sepanjang lawatan, rombongan turut mengadakan sesi pertemuan bersama kakitangan stesen bagi sesi suai kenal, mendengar pandangan, cadangan serta cabaran yang dihadapi dalam melaksanakan tugasan harian. Pengarah Baharu turut menzahirkan penghargaan atas komitmen dan dedikasi seluruh warga kerja dalam memastikan operasi perkhidmatan keretapi berjalan lancar.
Beliau menegaskan bahawa budaya kerja berpasukan, disiplin serta penyampaian perkhidmatan yang cekap dan mesra pelanggan perlu terus diperkasakan selaras dengan aspirasi jabatan untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Lawatan kerja ini diharap dapat menjadi platform berkesan dalam mengeratkan hubungan antara pengurusan dan kakitangan di peringkat operasi, di samping mengenal pasti keperluan semasa bagi meningkatkan mutu perkhidmatan keretapi negeri pada masa hadapan.