Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) telah menganjurkan Bengkel Cloud Productivity (Google Workspace) pada 3 hingga 4 Februari 2026 bertempat di Ibu Pejabat JKNS. Bengkel ini dianjurkan bagi meningkatkan kemahiran serta kecekapan kakitangan dalam menggunakan aplikasi berasaskan awan bagi menyokong pelaksanaan tugasan harian secara lebih sistematik, efisien dan selamat.
Program ini telah disertai oleh kakitangan dari pelbagai bahagian di JKNS dan memberi pendedahan berkaitan penggunaan aplikasi utama dalam Google Workspace seperti Google Drive, Google Docs, Google Sheets, Google Slides serta Google Forms. Melalui bengkel ini, para peserta turut didedahkan kepada kaedah pengurusan dokumen secara digital, perkongsian fail secara kolaboratif serta teknik penyelarasan tugasan secara masa nyata.
Selain itu, peserta juga diberi peluang untuk melaksanakan latihan praktikal bagi meningkatkan kefahaman dalam mengaplikasikan kemudahan digital tersebut dalam persekitaran kerja harian. Pendekatan ini secara tidak langsung dapat membantu meningkatkan produktiviti kerja, mempercepatkan proses penyediaan dokumen serta memudahkan kerjasama antara bahagian.
Penganjuran bengkel ini diharapkan dapat menyokong usaha JKNS dalam memperkukuhkan penggunaan teknologi digital selaras dengan keperluan transformasi perkhidmatan awam ke arah sistem kerja yang lebih moden, cekap dan berdaya saing.