SEJAK 1896

Sejarah Keretapi Sabah

Lebih satu abad menghubungkan masyarakat, perdagangan dan bandar-bandar di sepanjang landasan dari pesisir ke pedalaman Sabah.

Landasan keretapi awal melalui penempatan di Borneo Utara

Jejak lebih satu abad

Perkhidmatan keretapi negeri Sabah berkembang daripada landasan eksport hasil pertanian kepada sistem pengangkutan penumpang, penghubung komuniti dan tarikan pelancongan.

1896

Pembinaan landasan bermula

1914

North Borneo Railway ditubuhkan rasmi

134 km

Laluan Tanjung Aru–Tenom masa kini

GARIS MASA

Perjalanan Keretapi Sabah

Ikuti detik penting yang membentuk perkhidmatan keretapi negeri.

Keretapi kecil membawa penumpang melalui kawasan pedalaman Sabah

1896 — PERMULAAN

Penubuhan Perkhidmatan Kereta Api

Sejarah penubuhan perkhidmatan keretapi di Negeri Sabah bermula sejak zaman British North Borneo Chartered Company (BNBCC) lagi.

Perkhidmatan keretapi telah dicadangkan oleh Pengerusi dan Pengarah Urusan BNBCC ketika itu, iaitu William Clarke Cowie. Hasilnya pada tahun 1896, pembinaan landasan keretapi dari Beaufort ke Weston bermula yang diketuai oleh Arthur J. West, seorang Jurutera Awam Inggeris.

AKHIR ABAD KE-19 — RANGKAIAN AWAL

Pembinaan Landasan 139KM

Landasan keretapi yang pertama telah bermula dari Bukau ke Weston sepanjang 37 km dan seterusnya dari Beaufort ke Melalap sepanjang 65 km.

Pembinaan rangkaian landasan keretapi telah didorongi oleh perkembangan permintaan barangan getah asli dan tembakau yang terdapat di daerah Tenom manakala Weston dijadikan sebagai pelabuhan untuk mengeksport barangan keluaran dari Daerah Tenom dan Beaufort.

Kesemua rangkaian landasan keretapi sepanjang 193 km telah disiapkan pada zaman British North Borneo Chartered Company.

Keretapi wap melalui penempatan pesisir Jesselton
Lokomotif dan kakitangan keretapi Borneo Utara

1906 & 1914 — PENGUKUHAN

Tunjang Ekonomi North Borneo

Pada tahun 1906 landasan keretapi dari Beaufort ke pelabuhan di Jesselton (Kota Kinabalu) telah disiapkan dan ini membolehkan bandar-bandar di sepanjang landasan keretapi berkembang maju. Disebabkan aktiviti ini, pekan-pekan kecil dan bandar-bandar seperti Membakut, Papar, Kinarut, Putatan dan lain-lain telah wujud dan membangun di sepanjang landasan keretapi. Perkhidmatan keretapi juga menjadi sistem perhubungan yang utama pada waktu itu dan menjadi penyumbang penting kepada perkembangan ekonomi Negeri Sabah.

Selain menghubungkan bahagian timur dan barat di sebelah Utara Borneo, pembinaannya adalah bagi membantu membangunkan industri getah dan tembakau yang di tanam di daerah pedalaman seperti Melalap, Tenom dan Beaufort.

Perkhidmatan keretapi yang digunakan untuk mengangkut hasil-hasil tanaman ini ke pelabuhan di Kota Kinabalu (Jesselton) untuk dieksport ke luar negara. Perkhidmatan ini juga digunakan untuk mengangkut barangan luar bagi penduduk-penduduk di daerah pedalaman. Selain daripada itu, perkhidmatan keretapi juga adalah untuk mengangkut penumpang-penumpang yang tinggal di sepanjang landasan keretapi dan barangan mereka seperti beras, sayur-sayuran dan buah-buahan untuk dijual di Pekan Tenom dan Beaufort.

1945 — PERANG DUNIA KEDUA

Kerosakan besar dan pemulihan panjang

Perang Dunia Kedua pada tahun 1945 telah merosakkan banyak infrastruktur landasan dan menyebabkan pemulihan perkhidmatan memakan masa yang panjang. Setelah perang tersebut berakhir, landasan di antara Tenom ke Melalap dan dari Beaufort ke Bukau telah ditutup dan Pelabuhan Kota Kinabalu menjadi pelabuhan utama British North Borneo Chartered Company.

Pada tahun 1978 landasan keretapi hanya tinggal 140 km. Penutupan landasan keretapi dari Tanjung Aru ke Pelabuhan Kota Kinabalu pada tahun 1979 menyebabkan penurunan pendapatan yang ketara disebabkan penghantaran barangan ke pelabuhan yang melibatkan operasi yang tidak efisien dan kos yang tinggi.

Keretapi melintasi jambatan di kawasan pedalaman Sabah
Lokomotif wap dan gerabak penumpang Keretapi Sabah

1963–1979 — TRANSFORMASI

Daripada NBR kepada JKNS

Selepas pembentukan Malaysia pada 1963, North Borneo Railway dinamakan Sabah State Railway Department (SSRD).

Pada 1978, baki landasan ialah 139 km. Penutupan laluan Sekreteriat ke Pelabuhan Kota Kinabalu pada tahun 1979 membentuk rangkaian yang kemudian berfokus pada laluan Sembulan (Sekreteriat) – Tenom sehingga kini.

2002–2023 — PELANCONGAN

Rel menjadi pengalaman pelancongan

Perkhidmatan Vulcan Steam Train oleh North Borneo Railway dan Sutera Harbour berkembang dari 2002 hingga 2020.

Pada 23 September 2023, perkhidmatan pelancongan seperti Train to Muara Sungai Benoni dan Chartered Hybrid Steam Train dilancarkan.

Ibu Pejabat Jabatan Keretapi Negeri Sabah

KERETAPI SABAH HARI INI

134 km dari Sembulan ke Tenom

Rangkaian ini terus menjadi penghubung penting bagi komuniti di sepanjang laluan serta sebahagian daripada legasi pengangkutan Sabah.